Laporan PAC 2022 Skandal kapal tempur pesisir Malaysia

Laporan PAC Parlimen pada 4 Ogos 2022 telah mendapati bahawa kontrak projek LCS telah dianugerahkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus. Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion bagi projek LCS, tetapi tiada kapal LCS telah disiapkan. Syarikat BNS telah melantik Contravest Advanced Devices dan Contravest Electrodynamics Devices untuk membeli peralatan daripada Pengeluar Peralatan Asal, yang telah menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda. Syarat kontrak pula adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. Bayaran yang diterima daripada kerajaan oleh BNS tidak digunakan sepenuhnya untuk projek LCS, menyebabkan BNS menghadapi lebihan kos. Peralatan yang disimpan dalam simpanan untuk projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% sudah usang.[2] Laporan PAC turut mendedahkan bahawa LCS pertama, LCS kelas Maharaja Lela, yang dilancarkan pada 2017 sebenarnya belum siap. Kapal itu hanya 44% siap pada masa pelancaran. Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu hanyalah sekadar pertunjukan dan kos tambahan tiang yang dipasang pada LCS 1 semasa majlis itu adalah berjumlah RM400,000.[3]

PAC Parlimen juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), bekeupayaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia, dan insiden pemilihan reka bentuk kapal LCS berubah daripada SIGMA kepada GOWIND dijadikan iktibar bagi perolehan akan datang. PAC juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan membentangkan pelan perolehan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa, dan supaya pentadbiran kontrak kerajaan diperkemas untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (variation order).[2]